ARKIB : 26/04/2012
PIBG perlu lebih agresif - Muhyiddin
Oleh MOHD. ASRON
MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 April - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa
agar lebih agresif membantu pihak sekolah menyediakan program pembangunan
sahsiah serta peningkatan prestasi secara lebih tersusun dan komprehensif bagi
meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
pendidikan adalah agenda yang tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian
sebaliknya, memerlukan kerjasama semua pihak khususnya PIBG bagi membolehkan
perancangan pembangunan dibuat secara holistik.
Ini kerana jelas beliau, penentuan sama ada Malaysia mampu muncul
sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, atau terus terperangkap
dalam kelompok negara membangun berpendapatan sederhana amat bergantung kepada
sistem pendidikan.
“Oleh itu saya amat berharap agar pihak PIBG bersama-sama pihak
sekolah dapat menyediakan perancangan yang teliti demi meningkatkan lagi
kecemerlangan dan prestasi anak masing-masing, saya menyeru agar kesepakatan
ini dapat diperhebatkan lagi.
“Pendidikan hari ini berdepan cabaran globalisasi, fenomena sosial
yang sangat mencabar serta aspirasi yang perlu dicapai. Maka usaha bersepadu
harus dilakukan demi perubahan dari segi pemikiran serta pendekatan, sejajar
dengan kehendak dan perubahan pendidikan," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa
berucap pada majlis penyampaian Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011, di
Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, dekat sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed serta Ketua
Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.
Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Agama (JAIM) Al-Ehya
El-Karim dari Melaka muncul pemenang Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011,
sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000, Piala Pusingan Menteri Pelajaran
serta sijil penghargaan.
Sementara itu, menyentuh mengenai anugerah tersebut, Muhyiddin
berkata, ia diwujudkan buat julung kali bagi memberi pengiktirafan serta
penghargaan kepada semua PIBG yang terbukti kemampuannya dalam mengurus
persatuan secara berkesan dan berkualiti.
Tambahnya, anugerah itu amat relevan dengan matlamat supaya ibu
bapa dapat memainkan peranan bersama pihak sekolah dalam membangunkan modal
insan berkualiti tinggi sebagaimana digariskan kerajaan.
No comments:
Post a Comment