ARKIB : 26/04/2012
SMA
Al-Ehya El-Karim muncul pemenang PIBG cemerlang
MUHYIDDIN Yassin mengucapkan tahniah kepada Zaid Md. Saman (dua dari kanan) sambil diperhatikan Dr. Wee Ka Siong (dua dari kiri) dan Abd. Ghafar Mahmud (kanan) pada majlis Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011, di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
MUHYIDDIN Yassin mengucapkan tahniah kepada Zaid Md. Saman (dua dari kanan) sambil diperhatikan Dr. Wee Ka Siong (dua dari kiri) dan Abd. Ghafar Mahmud (kanan) pada majlis Anugerah Cemerlang PIBG Kebangsaan 2011, di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 25 April - Sekolah Menengah Agama (JAIM) Al-Ehya
El-Karim dari Melaka muncul pemenang sulung Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan yang baru diperkenalkan.
Sekolah tersebut dipilih sebagai pemenang kerana kemampuannya
mengurus PIBG secara berkesan sehingga membolehkan pelbagai program berkualiti
dilaksanakan hasil sumbangan ibu bapa dan pihak berkepentingan.
Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang wang
tunai RM50,000, Piala Pusingan Menteri Pelajaran serta sijil penghargaan.
Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
Pada majlis sama, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield dari
Selangor muncul PIBG cemerlang bagi kategori sekolah menengah manakala Sekolah
Kebangsaan Methodist Kuantan, Pahang pula pemenang bagi kategori sekolah
rendah.
Kedua-dua sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta
sijil penghargaan.
Sementara itu, Pengerusi PIBG SMA Al-Ehya El-Karim, Zaid Md. Saman
berkata, pihak persatuan memang merangka dan menggerakkan pelbagai program
secara berterusan untuk tempoh sepanjang tahun.
Jelasnya, hasil kerjasama agresif antara PIBG dan pihak pengurusan
sekolah, mereka berjaya mengumpul dana RM1 juta dan membina sebuah asrama
serbaguna walaupun jumlah pelajar hanya 370 orang.
“Hasil daripada dana inilah yang kami guna untuk membiayai kelas
tambahan, ceramah motivasi, menyediakan makanan cerdas minda kepada semua
pelajar setiap hari serta membekalkan peralatan peperiksaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment